NABI Nuh telah dilantik oleh Allah untuk membimbing kaumnya supaya menyembah Allah. Pada waktu itu, kaum Nabi Nuh hidup dalam kekufuran. Mereka menyembah berhala yang dibuat oleh mereka sendiri. Baginda tetap menjalankan perintah Allah untuk menyeru kaumnya supaya tidak menyembah berhala lagi.
Walaupun begitu, hanya sedikit sahaja daripada kaumnya yang beriman kepada Allah. Nabi Nuh mula berasa putus asa. Lalu, baginda pun berdoa kepada Allah. Nabi Nuh mengadu kepada Allah mengenai sikap kaumnya. Maka, Allah pun mengkabulkan doa baginda. Allah memerintahkan Nabi Nuh supaya membina sebuah kapal yang besar. Dengan bantuan daripada Allah, Nabi Nuh pun membina kapal tersebut.
Apabila kapal tersebut telah siap, Nabi Nuh pun membawa setiap jenis haiwan yang berpasangan ke atas kapal. Nabi Nuh juga mengumpul benih-benih tumbuhan untuk disimpan dalam kapal tersebut. Selepas itu, Nabi Nuh pun menyuruh semua pengikutnya naik ke atas kapal lalu menyeru:
"Wahai orang-orang yang beriman! Naiklah kamu ke atas kapal ini. Janganlah kamu lupa untuk berdoa kepada Allah. Sesungguhnya Tuhan akan melindungi kamu."
Setelah semua orang Mukmin berada di atas kapal, Allah pun menurunkan hujan dengan lebatnya. Angin pun mula bertiup kencang. Allah juga memerintahkan bumi supaya mengeluarkan air dari perutnya.
Nabi Nuh yang berada di atas kapal memanggil anaknya yang tidak mahu beriman.
"Anakku, marilah naik ke atas kapal ini. Tidak ada siapa yang dapat menyelamatkan kamu melainkan Allah.
"Aku tidak mahu naik ke kapal itu. Aku akan berlindung di atas gunung," kata anaknya.
Anaknya tetap berdegil. Dia tidak mahu menjadi pengikut Nabi Nuh dan meninggalkan amalan menyembah berhala.
Hujan yang turun dengan banyaknya telah membuatkan air sungai naik. Mata air yang membuak-buak membanjiri tanah-tanah kering. Orang-orang kafir mula berasa takut. Mereka melarikan diri ke atas bukit. Tetapi tidak lama kemudian, air banjir itu pun sampai ke atas bukit. Lalu mereka melarikan diri ke atas gunung pula.
Namun air banjir terus naik ke atas gunung. Tidak ada tempat lagi untuk orang kafir menyelamatkan diri. Maka, tenggelamlah mereka dalam banjir itu. Anak Nabi Nuh dan ahli keluarganya pun tenggelam. Itulah balasan dan azab yang Allah timpakan kepada kaum Nabi Nuh yang ingkar itu.
Banjir yang besar itu menenggelamkan semua benda yang ada di atas muka bumi. Tidak ada makhluk pun yang terselamat kecuali mereka yang berada di atas kapal Nabi Nuh. Banjir itu juga telah menenggelamkan semua tumbuhan dan gunung-gunung yang tinggi.
Apabila kesemua orang kafir mati, Allah memerintahkan hujan supaya berhenti. Bumi pun menyerap semula air banjir itu. Nabi Nuh sentiasa berdoa dan berzikir kepada Allah. Selepas banjir itu surut, kapal Nabi Nuh pun berlabuh di atas Bukit Judiy.
lPetikan daripada buku 366 Kisah daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.