Pada suatu ketika, kota Baghdad didatangi oleh seorang pendakyah Yahudi bernama Dahri. Kedatangannya mencetuskan kegemparan dikalangan umat Islam. Dahri cuba merosakkan pegangan umat Islam dengan membahaskan soal-soal yang berhubung kait dengan ketuhanan. Dicabarnya para ulama Baghdad untuk berdebat dengannya. Setiap kali cabarannya disahut, hujah-hujah Dahri tidak pernah dapat dipatahkan sehingga akhirnya tidak ada lagi ulama Baghdad dan ulama-ulama disekitarnya yang sanggup berhadapan dengannya.
Dari kejadiannya ini, tahulah Khalifah bahawa Baghdad sudah ketiadaan ulama yang benar-benar berwibawa dan tinggi ketaqwaannya. Lalu Khalifah memerintahkan beberapa orang menteri meninjau ke daerah lain, kalau-kalau masih ada ulama yang boleh dibawa berdepan dengan Dahri. Akhirnnya wakil Khalifah menemui Imam Hammad bin Abi Sulaimann Al-Asyari, seorang ulama yang tidak kurang juga ketokohannya.
Khalifah memerintahkan supaya hari perdebatan antara Imam Hammad dan Dahri disegerakan. Dan majlis bersejarah itu mesti dibuat di Masjid Jamek di tengah-tengah kota Baghdad. Sehari sebelum pertemuan itu lagi, Masjid Jamek telah penuh sesak dengan orang ramai.
Masing-masing menaruh harapan agar Imam Hammad berjaya menumbangkan Dahri kerana beliaulah satu-satunya ulama yang diharapkan. "Subhanallah. ... Subhanallah .... Walahaulawala quwwata illa billahi a'liyyil a'zim!" Lidah Imam Hammad terus melafazkan kalimat mensucikan segala tohmahan yang tidak layak bagi Zat yang Maha Agung. Dia beristighfar terus. Rasanya dah tidak sanggup telinganya menadah bermacam tohmahan yang dilemparkan oleh Dahri yang biadab dan materialis itu.
Mempertikaikan KeEsaan Allah SWT bukanlah perkara kecil dalam Islam. Ini kes berat! Hatinya cukup pedih. Roh ketauhidannya bergelora. Mahu rasanya dipenggal leher si Dahri yang angkuh itu di depan ribuan mata yang turut hadir dalam majlis iru. Keesokannya, pagi-pagi lagi muncul Abu Hanifah, murid Imam Hammad yang paling rapat dan yang paling disayanginya. Namanya yang sebenar ialah Nu' man, yang ketika itu usianya masih lagi remaja. Bila ternampak keadaan gurunya itu, Abu Hanifah pun bertanya untuk mendapat kepastian. Lalu Imam Hammad menceritakan keadaan yang sebenar. Dalam pada itu teringat Hammad akan mimpinya malam tadi, lalu dikhabarkan kepada muridnya itu. Abu Hanifah mendengarnya dengan penuh khusyuk.
"Aku bermimpi ada sebuah dusun yang amat luas lagi indah. Di sana kulihat ada sepohon kayu yang rendang dan lebat buahnya. Tiba-tiba, di situ keluar seekor khinzir dari hujung sebuah kampung. Lalu habis dimakannya buah-buahan yang masak ranum dari pokok itu. Hingga ke daun dan dahan-dahannya habis ditutuh.Yang tinggal cuma batangnya sahaja. Dalam pada itu juga keluar seekor harimau daripada umbi pohon rendang tadi lalu menerkam khinzir itu dengan gigi dan kukunya yang tajam.Lalu, khinzir tadi mati disitu juga." Hammad termenung seketika.
Kekalutan pemikiran yang telah dicetuskan Dahri, yang boleh menggugat pegangan aqidah umat ini,tidak boleh di biarkan. Mesti dihapuskan segera. Wajahnya yang tenang bagai air sungai yang mengalir jernih, masih nampak bercahaya walau di saat sebegitu genting. Satu kelebihan Abu Hanifah ialah beliau juga dikurniakan Allah ilmu menta'bir mimpi, sebagai mana nabi Allah Yusuf. Pada pengamatannya juga, mimpi tersebut akan memberi petanda baik bahawa si Dahri pasti akan menerima padahnya nanti. Dan setelah mendapat keizinan gurunya, dia pun cuba mentafsirnya:
"Apa yang tuan lihat dalam mimpi tuan sebagai dusun yang luas lagi indah itu adalah tamsilan kepada agama Islam kita. Pokok yang berbuah lebat itu adalah tamsilan kepada sekalian ulamannya. Manakala sepohon kayu yang masih tinggal itu adalah tuan sendiri. Dan khinzir yang tiba-tiba muncul dan merosakkan pohon tersebut ialah si Dahri. Manakala harimau yang keluar lalu membunuh khinzir tadi adalah saya", jelas Abu Hanifah.
Beliau juga memohon izin untuk membantu gurunya berdepan dengan si Dahri. Betapa gembiranya hati Imam Hammad bila tercetusnya hasrat itu dari hati muridnya sendiri. Maka berangkatlah ilmuan budak itu bersama gurunya untuk pergi ke Masjid Jamek di mana majlis dialog akan diadakan yang dihadiri oleh orang ramai dan Khalifah.
Seperti biasanya, sebelum menyampaikan dakyahnya, Dahri akan mencabar dan memperleceh- lecehkan ulama dengan bersuara lantang dari atas pentas.
"Hai Dahri, apalah yang digusarkan. Orang yang mengetahuinya pasti menjawabnya!" Tiba-tiba suara Abu Hanifah memeranjatkan Dahri dan menyentakkan kaum Muslimin yang hadir. Dahri sendiri terkejut. Matanya memandang tajam mata Abu Hanifah.
"Siapa kamu hai anak muda? Berani sungguh menyahut cabaranku. Sedangkan ulama yang hebat-hebat, yang berserban dan berjubah labuh telah ku kalahkan!" Lantang suara Dahri membidas Abu Hanifah.
"Wahai Dahri," balas Abu Hanifah, "sesungguhnya Allah tidak mengurniakan kemuliaaan dan kebesaran itu pada serban atau jubah yang labuh. Tetapi Allah mengurniakan kemuliaan kepada orang-orang yang berilmu dan bertaqwa." Abu Hanifah lalu membacakan sebuah firman Allah SWT yang bermaksud:
"Allah telah meninggikan darjat orang beriman dan berilmu antara kamu beberapa darjat." (Al-Mujadalah : 11 ) .
Geram rasanya hati Dahri mendengarnya kepetahan lidah pemuda ini berhujah. Maka berlangsunglah majlis dialog. Perdebatan antara Abu Hanifah dengan tokoh Ad-dahriyyah, yang terkenal dengan pemikiran materialis dan ateisnya itu,berlangsung dengan mendebarkan.
"Benarkah Allah itu wujud?" Soal Dahri memulakan majlis dialognya.
"Bahkan Allah memang wujud", tegas Abu Hanifah.
"Kalau Allah maujud (wujud), di manakah tempatnya?" Suara Dahri semakin meninggi. "Allah tetap wujud tetapi dia tidak bertempat!" Jelas Abu Hanifah. "Hairan, kau kata Allah itu wujud, tetapi tidak bertempat pula?" bantah Dahri sambil melemparkan senyuman sinisnya kepada hadirin.
"Ah, itu senang sahaja wahai Dahri. Cuba kau lihat pada dirimu sendiri. Bukankah pada dirimu itu ada nyawa?" Abu Hanifah mula berhujah. Orang ramai mula memerhatikan gaya ilmuan muda ini berpidato dengan penuh minat. "Bahkan, memang aku ada nyawa, dan memang setiap makhluk yang bernafas itu ada nyawa.!" sahut Dahri.
"Tetapi adakah kau tahu di manakah letaknya nyawa atau rohmu itu? Dikepalakah, diperutkah atau adakah dihujung tapak kakimu?" Terserentak Dahri seketika. Orang ramai mula berbisik-bisik sesama sendiri.
Setelah itu Abu Hanifah mengambil pula segelas susu lalu ditunjukkan pada Dahri, seraya berkata: "Adakah dalam air susu ini ada terkandung lemak?"
Pantas Dahri menjawab, "Ya, bahkan!"
Abu Hanifah bertanya lagi, "kalau begitu dimanakah lemak itu berada? Di bahagian atasnyakah atau dibawah?" Sekali lagi Dahri terserentak, tidak mampu menjawab pertanyaan Abu Hanifah yang petah itu.
"Untuk mencari dimanakah beradanya roh dalam jasad dan tersisip dimanakah kandungan lemak dalam air susu ini pun kita tidak upaya, masakan pula kita dapat menjangkau dimanakah beradanya Zat Allah SWT di alam ini? Zat yang telah mencipta dan mentadbir seluruh alam ini termasuk roh dan akal dangkal kita ini, pun ciptaan-Nya, yang tunduk dan patuh di bawah urusan tadbir kerajaan-Nya yang Maha Agung!" Suasana menjadi agak bingar. Dahri terpaku di kerusi.
Terbungkam lidahnya. Merah mukanya. Kesabarannya mula terburai. Bila keadaan agak reda, Dahri membentangkan soalan. "Hai anak muda! Apakah yang wujud sebelum Allah. Dan apa pula yang muncul selepas Dia nanti?" Semua mata tertumpu pada Abu Hanifah, murid Imam Hammad yang pintar ini. "Wahai Dahri! Tidak ada suatu pun yang wujud sebelum Allah Taala dan tidak ada sesuatu jua yang akan muncul selepas-Nya. Allah SWT tetap Qadim dan Azali. Dialah yanng Awal dan Dialah yang Akhir", tegas Abu Hanifah, ringkas tapi padat.
"Pelik sungguh! Mana mungkin begitu.Tuhan Wujud tanpa ada permulaan Nya? Dan mana mungkin Dia pula yang terakhir tanpa ada lagi yang selepas Nya?" Dahri cuba berdalih dengan minda logiknya. Sambil menuding ibu jarinya ke langit, dengan tersenyum Abu Hanifah menjelaskan, "Ya! Dalilnya ada pada diri kamu sendiri. Cuba kau lihat pada ibu jari mu itu. Jari apakah yang kau nampak berada sebelum jari ini?"
Dan beberapa hadirin turut berbuat demikian. "Dan pada jari kelingking kau itu, ada lagikah jari yang selepasnya." Dahri membelek-belek jarinya. Tidak terfikir dia persoalan yang sekecil itu yang diambil oleh Abu Hanifah. "Jadi, kalaulah pada jari kita yang kecil ini pun tidak mampu kita fikir, apatah lagi Allah SWT Zat yang Maha Agung itu, yang tiada suatu pun yang mendahului-Nya dan tiada sesuatu yang kemudian selepas-Nya."
Sekali lagi Dahri tercenggang. Bungkam. Namun masih tidak berputus asa untuk mematahkan hujah anak muda yang telah memalukannya di khalayak ramai. Khalifah memerhatikan sahaja gelagat Dahri dengan penuh tanda tanya. Dahri berfikir seketika, mencari jalan, mencari idea.
Semacam suatu ilham baru telah menyuntik mindanya, diapun tersenyum. Hati Dahri bergelodak bagai air tengah menggelegak. "Ini soalan yang terakhir buat mu wahai budak mentah!" Sengaja Dahri mengeraskan suaranya agar rasa malunya itu terperosok. "Allah itu ada, katamu. Ha, apakah pekerjaan Tuhan mu ketika ini ?" Soalan tersebut membuat Abu Hanifah tersenyum riang.
"Ini soalan yang sungguh menarik. Jadi kenalah dijawab dari tempat yang tinggi supaya dapat didengar oleh semua orang!" Katanya. Pemuda ideologi Ad-Dahriyyun yang sedari tadi mentalitinya dicabar terus, berjalan turun meninggalkan mimbar masjid Jamek, memberi tempat untuk Abu Hanifah lalu Abu Hanifah menjawab : "Wahai sekelian manusia. Ketahuilah bahawa kerja Allah ketika ini ialah menggugurkan yang bathil sebagaimana Dahri yang berada di atas mimbar, diturunkan Allah ke bawah mimbar. Dan Allah juga telah menaikkan yang hak sebagaimana aku, yang berada di sana, telah dinaikkan ke atas mimbar Masjid Jamek ini!"
Bagai halilintar, hujah Abu Hanifah menerjah ke dua-dua pipi Dahri. Seiring dengan itu bergemalah pekikan takbir dari orang ramai. Mereka memuji-muji kewibawaan Abu Hanifah yang telah berjaya menyelamatkan maruah Islam dari lidah Dahri yang sesat lagi menyesatkan itu. Sehingga ke hari ini, nama Imam Abu Hanifah terus dikenali keserata dunia sebagai seorang Fuqaha dan salah seorang daripada Imam Mujtahid Mutlak yang empat. Kemunculan Mazhab Hanafi dalam fiqh Syar'iyyah, juga mengambil sempena nama ulama ini.