Tuesday, 8 June 2010

hati yang mati



Hati diciptakan Allah Subhanahu Wataala sebagai organ yang paling utama di dalam tubuh manusia dan juga sebagai nikmat yang paling Agong diberikan oleh Allah Subhanahu Wataala. Hati menjadi tempat Allah Subhanahu Wataala membuat penilaian terhadap hambanya. Pada hatilah letaknya niat seseorang. Niat yang tulus ikhlas itu akan diberi pahala oleh Allah Subhanahu Wataala.

Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar ia tidak rosak, tidak sakit, tidak leka, tidak buta, tidak keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan-keadaan seperti ini, kesannya adalah melibatkan seluruh anggota tubuh badan manusia. Dan akan lahirlah penyakit-penyakit masyarakat berpunca dari hati yang sudah rosak itu.

Justeru itu, hati adalah amanah yang wajib dijaga, sebagaimana kita diamanahkan untuk menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya dari berbuat dosa dan maksiat.
Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana dosa. Setiap satu dosa yang dilakukan tanpa diikuti taubat dan istighfar itu akan menyebabkan terjadinya satu titik hitam di dalam hati. Itu baru satu dosa. Maka bayangkan bagaimana pula kalau sepuluh dosa? Seratus dosa? Seribu dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu.

Ini jelas digambarkan dalam hadith Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam :-

Tafsirnya :
Siapa yang melakukan suatu dosa, maka akan tumbuh di hatinya setitik hitam, kiranya ia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu dari muka hatinya. Jika ia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak sehingga seluruh muka hatinya menjadi hitam. (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah)

Hadith ini sesuai dengan firman Allah Subhanahu Wataala di dalam Al-Quran surah Al-Muthaffifiin, ayat 14 :-

Tafsirnya :
Sebenarnya ayat-ayat kami tidak ada cacatnya bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan.

Hati apabila kotor dan hitam akan menjadi keras, apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat akan tidak dirasakan. Dan ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur Iman dan nur Ilmu. Belajar sebanyak manapun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak akan masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan kita untuk mengamalkannya.

Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 74 :-

Tafsirnya :
Kemudian sesudah itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya, dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah, sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.

Begitulah Allah Subhanahu Wataala mendatangkan contoh dan menerangkan bahawa batu yang keras itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana amat takutkan Allah Subhanahu Wataala. Kerana itu apakah hati manusia lebih keras daripada batu hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah daripada Allah Subhanahu Wataala.

Apa yang paling membimbangkan kita ialah apabila hati mati, kerana inilah kemusnahan yang amat besar terhadap manusia. Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan di dunia dan akhirat. Inilah natijahnya apabila kita lalai dan cuai mengubati dan membersihkan hati kita. Kegagalan kita menghidupkan hati akan dipertanggungjawabkan oleh Allah Subhanahu Wataala di akhirat kelak.

Hati itu mati disebabkan perkara-perkara berikut:-

Pertama : hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah Subhanahu Wataala. Iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran dari didikan dan ujian Allah Subhanahu Wataala. Seperti mana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Az-Zumar, ayat 22 :-

Tafsirnya :
Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.

Kedua : hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani yang sewajarnya. Kalau tubuh jasmani boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitulah juga hati. Bila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan sahaja akan sakit dan buta malah akan mati akhirnya. Santapan rohani itu ialah “ zikrullah”, “nasihat” dan “muhasabah diri”.

Dari itu wahai kaum muslimin jaga dan peliharalah hati kita dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati iaitu dengan menggilap dan membersihkannya dengan jalan mengingati Allah Subhanahu Wataala. Sebagaimana yang diterangkan dalam Al-Quran surah Ar-Ra’d, ayat 28 :-

Tafsirnya :
Iaitu orang-orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah, ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Asy-Syu’araa’, ayat 88 – 89 :-

Tafsirnya :
Hari yang padanya harta benda dan anak pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun. Kecuali harta benda dan anak pinak orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera dari syrik dan penyakit munafik.

No comments:

pautan

Related Posts with Thumbnails